Saturday, 25 May 2013

jodoh oh jodoh..


BOLEH JADI
Memang betul, melihat kawan-kawan anda seorang demi seorang dipetik pergi adalah satu perkara yang meresahkan. Apatah lagi jika kawan-kawan itu semuanya lebih muda daripada anda. Sedangkan anda masih terpaksa mengukir senyum pahit kepada mereka dalam usaha menyembunyikan rasa di jiwa.
Tapi pernahkah anda terfikir, boleh jadi Allah sengaja menangguhkan kehadiran lelaki soleh tersebut ( insyaAllah ) supaya anda mempunyai ruang dan peluang yang lebih besar untuk agenda persiapan?
Persiapan apa?
1- Diri sendiri. Luaran dan dalaman. Mungkin jika anda ditakdirkan berkahwin sebelum itu, akan mengundang kemudaratan pula kepada anda. Barulah terasa betapa sesalnya memasuki alam perkahwinan tanpa persediaan. Mungkin aspek kecantikan dalaman kurang dititikberatkan sebelum ini. Kecantikan hati, keindahan budi, ia mudah dikesan jika anda jenis yang mementingkan diri sendiri dan tidak kisah jika orang sekeliling berkecil hati. Kalau sudah berkahwin, sikap tidak baik ini boleh mengundang kebencian suami.
2- Pengurusan. Diri sendiri dan apa sahaja yang anda lakukan. Boleh jadi anda kurang menitikberatkan aspek pengurusan diri dan terlalu sibuk dengan kerjaya anda sahaja. Maklumlah, ramai juga kaum hawa yang menyibukkan diri dengan kerja-kerja demi melupakan persoalan jodoh. Termasuk juga dalam bab pengurusan ini ; kecantikan. Ramai orang yang diberi anugerah rupa yang cantik molek, tetapi dipandang hodoh sebab gagal pengurusan. Bahasa kasarnya, selekeh. Orang tengok pun tidak menarik. Kegemukan juga salah satu cerminan dari kegagalan pengurusan. Jadi, mungkin juga Allah tangguhkan detik tersebut supaya anda sedar dan baiki perkara-perkara ini.
3- Keluarga. Anda tahukan, bila sudah berkahwin, ketaatan anda sudah berpindah kepada suami. Keutamaan suami sudah berada di tangga ketiga selepas Allah dan Rasul, berbanding sekarang di mana tangga tersebut diduduki oleh ayah dan ibu. Boleh jadi Allah sengaja tangguhkan detik tersebut supaya anda dapat menghargai detik-detik bersama ibu dan ayah dalam tempoh tersebut. Boleh jadi juga Allah tahu, ibu dan ayah anda masih belum puas mendampingi anda sebagai anak dara mereka sebelum diambil menjadi isteri orang. Jadi berilah perhatian kepada ibu dan ayah selagi mereka masih menjadi yang utama dalam hidup anda.
Banyak lagilah ‘boleh jadi’ yang lain. Saya kira, anda boleh ‘nampak’ segala ‘boleh jadi’ tersebut sekiranya anda ambil sedikit masa untuk memperhalusi dengan mata hati. Ia bukanlah mahu menafikan ‘kemampuan’ anda, tetapi anggaplah ia sebagai ‘bonus’ dari Allah sebelum tibanya saat-saat bahagia dalam hidup anda.
Seperkara lagi, disarankan anda banyak belajar dari pengalaman dan nasihat mereka yang telah berumahtangga. Biasanya, kaum hawa yang dimaksudkan oleh saya dalam artikel ini adalah kaum hawa yang bukan umur remaja, pendek kata sudah dewasa. Jadi saya kira, adalah lebih mudah mereka mendampingi ‘puan-puan’ yang telah lama membina rumahtangga dan mencedok sebanyak mungkin pengalaman dari mereka. Anda mungkin tidak nampak kebaikan tersebut hari ini. Tetapi satu hari nanti, apabila anda telah sah bergelar isteri, anda akan sedar betapa berharganya setiap pengalaman orang lain dalam membantu anda mendepani alam rumahtangga.

No comments:

Post a Comment